ECRL: UMNO Terengganu Gesa Kerajaan PH Hentikan Sikap ‘Kluk-Klek’

KUALA LUMPUR, 31 Jan – UMNO Terengganu berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak ‘kluk klek’ dalam membuat keputusan berhubung pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Din Adam berkata sikap ‘kluk-klek’ berhubung perkara tersebut amat-amat mengecewakan kerana pembinaan ECRL bakal memberi limpahan ekonomi dan manfaat yang cukup besar terhadap penduduk di Pantai Timur khususnya di Terengganu.

Justeru tegasnya cukup-cukuplah berpolitik sebaliknya mengambil langkah susulan yang tuntas dan membuat pertimbangan secara menyeluruh dan bukannya membuat kenyataan yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain.

“Rancang dan fikirlah secara mendalam. Kami juga ingin tahu bahkan rakyat Pantai Timur ternanti-nantikan keputusan terkini berhubung pembinaan ECRL berkenaan. Siapa yang menentukan dan siapakah yang mempunyai kata pemutus dalam soal tersebut.

“Jangan pandang rakyat di Pantai Timur ini sebelah mata. Kami juga berhak untuk mendapat pembangunan pengangkutan awam apatah lagi ECRL adalah julung-julungnya pemodenan kepada sistem pengangkutan awam yang menghubungkan pantai timur dengan Lembah Klang.


“Jadi kepada kerajaan pusat, buatlah pertimbangan sebaiknya. Jika kos yang menjadi halangan seperti mana diwar-warkan carilah alternatif sewajarnya kerana ini adalah untuk kepentingan bersama dan bukannya untuk kepentingan sesetengah pihak sahaja,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Din yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun seterusnya menambah bukankah kerajaan PH sering melaung-laungkan berjuang untuk rakyat dan tidak perlulah lagi menoleh ke belakang dengan mencari kesalahan kerajaan lalu.

Tambahnya dengan mandat yang diberikan, laksanakan apa yang patut dan jika sesuatu projek pembangunan itu baik untuk rakyat apa salahnya diteruskan dengan segera.

“Sikap ‘kluk-klek’ hanya akan menyerlahkan kelemahan kerajaan dan kepimpinan pentadbiran hari ini. Jangan nanti kerajaan PH dilihat sebagai sebuah kerajaan yang menjadi ‘pak lawak’,” tambahnya.

ECRL sekali lagi menjadi topik panas selepas terdapat percanggahan mengenai keputusan pembinaannya samaada diteruskan atau sebaliknya.

Memetik laporan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan  berkata beliau telah dinasihatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat sebarang pengumuman ketika ini berhubung projek tersebut.-MediaUMNO

No comments